Tujuan ASEAN

Seperti yang digariskan dalam Perisytiharan ASEAN, tujuan dan matlamat ASEAN adalah:
  • Meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan perkembangan kebudayaan dalam rantau Asia Tenggara melalui usaha bersama dalam semangat kesamaan dan perkongsian bagi memperkukuh asas untuk masyarakat Asia Tenggara yang makmur serta aman;
  • Mempromosi keamanan serantau dan kestabilan melalui pematuhan kepada sikap menghormati keadilan serta kedaulatan undang-undang dalam hubungan sesama negara anggota selain daripada mematuhi prinsip-prinsip yang terdapat dalam Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu;
  • Mempromosi kerjasama aktif dan bantuan bersama dalam perkara yang melibatkan kepentingan ekonomi, sosial, kebudayaan, teknikal, saintifik dan bidang pentadbiran bersama;
  • Menyediakan bantuan kepada satu sama lain dalam bentuk prasarana latihan dan kajian dalam bidang pendidikan, profesional, teknikal dan pentadbiran;
  • Bekerjasama dengan lebih berkesan untuk kepenggunaan yang lebih besar dalam pertanian dan industri, peluasan perdagangan, termasuklah mengkaji masalah perdagangan komoditi antarabangsa, memperbaiki lagi prasarana pengangkutan dan komunikasi serta meningkatkan taraf hidup penduduk Asia Tenggara;
  • Mempromosikan pengajian Asia Tenggara ke seluruh dunia; dan
  • Mengekalkan kerjasama rapat dan berfaedah dengan badan-badan antarabangsa dan serantau lain yang sedia ada dengan tujuan yang sama serta menerokai segala ruang untuk kerjasama yang rapat.